Bangunan Al Andalus yang akan dibaik pulih menerusi dana sumbangan Malaysia. FOTO Ihsan Nadir Al Nuri.
Bangunan Al Andalus yang akan dibaik pulih menerusi dana sumbangan Malaysia. FOTO Ihsan Nadir Al Nuri.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Malaysia menjadi negara pertama diiktiraf bagi membantu Palestin dalam pembaikan dan pembangunan semula bangunan tinggi di Gaza yang musnah akibat serangan tentera Israel, Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri Kamaruzaman berkata, perkara itu dimaklumkan Pengarah Polisi dan Perancangan, Kementerian Perumahan dan Kerja Awam Palestin di Gaza, Dr Jawad Al-Agha dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), semalam.

Katanya, MoU itu membabitkan kementerian berkenaan yang diwakili Timbalan Menteri Dr Naji Sarhan dengan Duta Muhibbah Aid4Palestine dan beliau sendiri selaku Pengerusi My Aqsa Defenders serta Abu Ayesh An-Najjar.

Menurut Nadir Al Nuri, Dr Naji Sarhan memuji ketangkasan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dalam menyampaikan sumbangan kepada Gaza dan nama negara cukup dikenali di Palestin ketika ini, selain Indonesia dan Qatar.

NADIR Al Nuri (tengah) bersama Dr Naji Sarhan (kiri) ketika menandatangani MoU dengan Kementerian Perumahan dan Kerja Awam Palestin. FOTO Ihsan Nadir Al Nuri.
NADIR Al Nuri (tengah) bersama Dr Naji Sarhan (kiri) ketika menandatangani MoU dengan Kementerian Perumahan dan Kerja Awam Palestin. FOTO Ihsan Nadir Al Nuri.

"Keseluruhan bantuan dari Malaysia bernilai AS$3.3 juta (RM13.7 juta), yang mana fasa pertama sumbangan iaitu hampir AS$1 juta membabitkan AS$555,000 (RM2.36 juta) daripada Aid4Palestin dan AS$242,500 (RM1.07 juta) oleh PasRelief akan digunakan untuk projek baik pulih 319 rumah.

"Selain itu, baik pulih Bangunan Al-Andalus setinggi 12 tingkat berkos AS$190,000 (RM789,713) juga akan menggunakan dana yang disumbangkan Sultan Kelantan dan Aid4Palestine.

"Sebelum ini Aid4Palestine juga menyalurkan sumbangan untuk bantuan kecemasan dalam bentuk pek makanan dan rawatan mangsa yang cedera ketika serangan," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Nadir Al Nuri berkata, NGO di bawah My Aqsa Defenders memperuntukkan AS$1 juta dalam penyediaan pek makanan dan bantuan khas untuk Pasukan Bomba dan Penyelamat Palestin supaya petugas itu dapat meningkatkan keupayaan ketika berhadapan situasi kecemasan.

Katanya, lebih 15,000 rumah rosak dalam serangan terakhir dengan hampir 2,000 unit musnah dan kerosakan keseluruhan dalam Perang Saiful Quds itu dianggarkan melebihi AS$2 bilion (RM 8.3 bilion).

"Menerusi MoU yang ditandatangani ini, bangunan pertama yang akan dibaiki akan menggunakan sumbangan daripada Malaysia, sekali gus mendahului negara lain.

"Kita juga masih menunggu perkembangan NGO yang berada di sempadan Mesir untuk masuk ke Gaza. Ketika ini kebenaran masih belum diperoleh. Seperti saya katakan sebelum ini, ia bukan perkara mudah untuk melepasi sempadan.

"Tambahan pula Mesir juga sedang giat melakukan kerja-kerja baik pulih di Gaza dan mungkin perlu tunggu sehingga ia selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 12:35 PM