HISHAMUDDIN memantau pokok anggur. FOTO Rosman Shamsudin
HISHAMUDDIN memantau pokok anggur. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Slim River: Pada peringkat awal, ada segelintir individu mempertikai dan tidak yakin bahawa pokok anggur boleh ditanam dekat sini serta mampu memberikan hasil lumayan.

Namun, pokok anggur ditanam oleh jurutera awam sudah mulai berbuah.

Hishamuddin Othman, 56, menanam 72 pokok anggur pelbagai jenis menggunakan benih diimport di rumah pelindung hujan (RPH) mulai pertengahan Februari lalu.

Katanya, selepas dibaja dan dijaga menggunakan kaedah tanaman fertigasi, pokok berkenaan mulai tumbuh dengan subur.

"Saya melakukan cantasan dahan dan daun pada pertengahan Ogos lalu bagi memastikan pokok anggur berkenaan berbunga lebat sebelum berbuah.

"Kini didapati semua pokok anggur yang ditanam mulai berbuah dan dijangka mengeluarkan hasil pada awal November nanti," katanya ketika ditemui di Muallim Hortigard and Nursery, dekat sini.

Antara pokok anggur yang ditanam termasuk Lorano, Faith, Dixon, Jupiter, Baikunor dan Catalonia.

Beliau yang mempunyai kelulusan dari Universiti Of Brighton, United Kingdom berkata, setiap pokok anggur mampu mengeluarkan hasil kira-kira 15 kilogram (kg) sehingga 20 kg sepokok.

Katanya, pokok berkenaan ditanam di dalam RPH bagi mengurangkan risiko serangan makhluk perosak dan mengelak pokok anggur ditimpa hujan yang boleh merosakkan pokok dan membantutkan tumbesaran.

"Pada mulanya , segelintir orang ramai mempertikaikan usaha saya menanam pokok anggur memandangkan iklim negara kita yang panas dan hujan sepanjang tahun.

"Sebenarnya, pokok anggur yang ditanam di negara ini mampu berbuah jika kita menggunakan teknik dan kaedah tanaman yang sesuai dengan iklim negara ini.

"Pokok anggur boleh hidup berpuluh tahun jika dijaga dengan menggunakan teknik atau kaedah tanaman yang betul dan sistematik," katanya.

Beliau berkata, pengunjung boleh melawat serta menikmati hasil buah anggur nanti bagi merealisasikan tarikan Agro Pelancongan di daerah Muallim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:22 PM