Nurul Hidayah Bahaudin


SATU daripada 10 pokok kurma yang berbuah di Masjid India, di Kuala Lumpur, menjadikan tumpuan ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar.

Menurut pemilik kedai menjual barang am di Masjid India yang mahu dikenali sebagai Samy, 56, dia menyedari pokok itu berbuah pada 7 Mei lalu ketika mahu membuka kedainya.

Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Masjid India, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan baik pulih di kawasan ini termasuk menanam 10 pokok kurma dua bulan lalu.

POKOK kurma berbuah yang ditanam diluar perkarangan Masjid India. FOTO AIZUDDIN SAAD
POKOK kurma berbuah yang ditanam diluar perkarangan Masjid India. FOTO AIZUDDIN SAAD

"Ketika saya mahu membuka semula kedai pada Khamis lalu, saya terkejut apabila mendapati satu daripada 10 pokok berkenaan berbuah dan memaklumkan perkara itu kepada rakan.

"Ada rakan yang mengambil gambar pokok itu lalu memuat naiknya di media sosial sehingga ia tular dan menyebabkan ramai orang datang untuk mengambil gambar," katanya ketika ditemui di Masjid India, hari ini.

POKOK kurma yang berbuah diluar perkarangan Masjid India. FOTO AIZUDDIN SAAD
POKOK kurma yang berbuah diluar perkarangan Masjid India. FOTO AIZUDDIN SAAD

Samy berkata, kehadiran orang ramai untuk mengambil gambar menyebabkan DBKL meletakkan pagar kawat duri serta pita larangan di sekeliling pokok berkenaan pagi tadi.

"Tindakan itu mungkin dibuat bagi mengelak orang ramai yang datang memegang pokok serta buah berkenaan," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi mendapati terdapat beberapa orang awam datang ke lokasi berkenaan untuk melihat serta mengambil gambar pokok kurma yang berbuah itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 3:32 PM