AHMAD Suhaimi Osman (kiri) menunjukkan durian jenis IOI dan Tajuddin Daud menunjukkan jenis 4 United miliknya.
AHMAD Suhaimi Osman (kiri) menunjukkan durian jenis IOI dan Tajuddin Daud menunjukkan jenis 4 United miliknya.

Lenggong: Musim buah durian di daerah Lenggong, Hulu Perak yang mulai gugur sejak seminggu lalu, sememangnya dinantikan bukan saja peminat raja buah itu, tetapi juga pekebun durian yang bakal menikmati hasil lumayan.

Bagaimanapun, musim durian kali ini kurang menjadi apabila hanya sebahagian kecil daripada 5,000 pokok milik lebih 200 pekebun durian di daerah itu yang berbuah atau hanya 20 peratus daripada jumlah pokok mengeluarkan hasil tahun ini.

Kampung Kuak kira-kira 20 kilometer dari pekan Lenggong adalah kampung paling banyak pokok durian berbuah tahun ini dan mula gugur serta mendapat sambutan pembeli dari seluruh pelosok negeri seperti Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Seramai 12 pekebun durian di kampung itu bersyukur kerana dapat menuai hasil berbanding sebahagian pekebun lain kampung itu yang langsung tidak berbuah.

Kampung Kuak memang terkenal sejak 15 tahun lalu kerana pelbagai jenis durian kampung yang bermutu tinggi termasuk durian kahwin yang ditanam penduduk.

Pada musim ini, lima jenis durian di kampung itu berbuah yang sememangnya popular dengan isinya yang lemak manis selain aroma menggiurkan iaitu 4 United, Kahwin Raja, D24, IOI dan Mawar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 2:14 PM