GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Seorang lelaki sanggup melafazkan taklik ke atas isterinya di media sosial disebabkan pasangannya itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Suri rumah berkenaan kemudiannya menghubungi peguam syarie bagi mendapatkan khidmat dan pengesahan sama ada taklik dilafazkan suaminya melalui Facebook itu sah atau sebaliknya.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik melalui Facebook peguam syarie itu, suami isteri berkenaan adalah pasangan jarak jauh (PJJ) dan kejadian dilaporkan berlaku semalam.

Penguam syarie Maryam Wafda Kamilen daripada Tetuan Wafda Kamilen & Associates ketika dihubungi mengesahkan menerima pertanyaan daripada suri rumah berkenaan.

Katanya, suri rumah itu mengakui mengambil suntikan vaksin dos pertama tanpa pengetahuan suaminya Selasa lalu.

"Ketika berbual melalui telefon mengenai vaksin, lelaki berkenaan melarang isterinya mendapatkan suntikan vaksin dan jika ingkar maka akan jatuh taklik.

"Suri rumah itu menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian sama ada taklik dilafazkan suaminya jatuh atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Maryam Wafda yang turut mengesahkan kes itu bukan kali diterima syarikat guamannya berkata, suri rumah itu dinasihatkan merujuk kes berkenaan kepada Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

Katanya, terdapat empat kes berkaitan dengan isu yang sama diterimanya sejak berlakunya penularan pandemik Covid-19 dan keperluan rakyat mendapatkan suntikan vaksin.

"Kami bersedia menawarkan perkhidmatan kepada semua suri rumah yang berhadapan dengan situasi itu.

"Kami menyarankan suri rumah yang berdepan dengan situasi itu supaya segera memfailkan kes itu di Mahkamah Syariah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 2:44 PM