Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: "Bukan tujuan mengaibkan, sebaliknya menyedarkan golongan lelaki lebih berhati-hati dan tidak bergurau dalam melafazkan taklik," kata penguam syarie, Maryam Wafda Kamilen berhubung perkongsiannya mengenai tindakan seorang lelaki melafazkan taklik terhadap isterinya kerana mengambil vaksin Covid-19.

Maryam Wafda berkata, sebelum memuat naik perbualan dengan mangsa di Facebook, suri rumah itu membenarkan masalah dihadapinya dikongsi untuk menyedarkan golongan lelaki supaya tidak mengambil mudah soal lafaz taklik.

"Suri rumah itu membenarkan saya mendedahkan permasalahan dihadapi terutama membabitkan isu suntikan vaksin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki tergamak melafazkan taklik terhadap isterinya, bagi menghalang pasangan hidupnya itu daripada mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Tindakan lelaki terbabit kini menimbulkan persoalan kepada hubungan pasangan berkenaan, apabila isterinya sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin di luar pengetahuannya.

Suri rumah berkenaan dilaporkan menghubungi Maryam Wafda bagi mendapatkan khidmat nasihat dan pengesahan, sama ada taklik dilafazkan suaminya sah atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Maryam Wafda berkata, suri rumah terbabit bersetuju untuk berkongsi permasalahan dihadapi selepas dia sedar bahawa isu membabitkan suntikan vaksin adalah sensitif dan terdapat cubaan menghalang orang ramai menolak vaksin.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, pasangan berkenaan diminta menghubungi jabatan agama daerah untuk siasatan lanjut termasuk mengesahkan taklik dilafazkan sah atau sebaliknya.

Katanya, walaupun pengesahan lafaz taklik itu sah atau sebaliknya akan ditentukan mahkamah syariah, tetapi siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan.

"Siasatan untuk pengesahan sama ada lafaz taklik itu yang diterima suri rumah itu daripada suaminya perlu dilakukan.

"JHEAT juga menyediakan pegawai kaunseling untuk menasihatkan pasangan berkenaan," katanya yang meminta suri rumah itu segera membuat laporan di pejabat agama berdekatan.

Berita berkaitan:

  • Cerai isteri ambil suntikan vaksin Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:28 PM