IDRIS ketika sidang media Program Semarak Merdeka Sumbangan Bakul Makanan, Daging Lembu dan Dapur It'am Merdeka Putrajaya 2021. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
IDRIS ketika sidang media Program Semarak Merdeka Sumbangan Bakul Makanan, Daging Lembu dan Dapur It'am Merdeka Putrajaya 2021. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid


Putrajaya: "Lafaz taklik sah? Yang itu kena tanya mufti. Itu bukan bidang kuasa saya."

Itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkenaan kes seorang lelaki sanggup melafazkan taklik ke atas isterinya di media sosial disebabkan pasangannya itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Apa pun, Idris berkata, menuntut ilmu agama perlulah memastikan daripada guru yang betul.

"Banyak guru yang betul kenapa tak ikut. Kadang-kadang kita mengaji (belajar agama) melalui Google.

"Boleh tengok, tetapi itu hanya pengukuhan, bukan satu perkara yang kita kata untuk dapat segala-galanya.

"Jadi ini akhirnya (kes suami lafaz taklik sebab isteri suntik vaksin)," katanya ketika ditemui pada Program Semarak Merdeka Sumbangan Bakul Makanan, Daging Lembu dan Dapur It'am Merdeka Putrajaya 2021 di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini, hari ini.

Disebabkan itu, Idris berkata, golongan ulama sentiasa menyebut jika tiada guru ketika belajar agama, maka gurunya adalah syaitan.

Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan seorang lelaki sanggup melafazkan taklik ke atas isterinya di media sosial disebabkan pasangannya itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kejadian di Kuala Terengganu itu si isteri iaitu seorang suri rumah kemudian menghubungi peguam syarie bagi mendapatkan khidmat dan pengesahan sama ada taklik dilafazkan suaminya melalui Facebook itu sah atau sebaliknya.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik melalui Facebook peguam syarie itu, suami isteri berkenaan adalah pasangan jarak jauh (PJJ) dan kejadian dilaporkan berlaku kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:38 PM