Sebanyak 1,198 pil kuda dan 500 pil Eramin 5 yang dia bernilai RM19,480 dirampas di Kampung Nibong, petang semalam. FOTO IHSAN PGA
Sebanyak 1,198 pil kuda dan 500 pil Eramin 5 yang dia bernilai RM19,480 dirampas di Kampung Nibong, petang semalam. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Seorang lelaki ditahan dan merampas 1,198 pil kuda dan 500 pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM19,480 di Kampung Nibong di sini, semalam.

Ia susulan pemeriksaan anggota Kompeni Taktikal C, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Jambu ke atas sebuah Perodua Viva berhampiran Pangkalan Haram Setor Kayu kira-kira jam 6 petang.

Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, pihaknya menghampiri kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun itu selepas mendapati dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, selepas memperkenalkan diri, pemeriksaan terus dibuat di dalam kenderaan berkenaan dan menemui satu bungkusan plastik berwarna merah yang mengandungi sebuah kotak.

"Di dalam kotak itu terdapat enam plastik kecil berwarna biru berisi 1,198 biji pil kuda dan 500 pil Eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM19,480," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mat Shukor berkata, turut dirampas wang tunai RM5,000 yang dipercayai hasil urus niaga jualan dadah.

Menurutnya, semua dadah itu disyaki diseludup daripada negara jiran melalui pangkalan haram untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

"Semua rampasan serta suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 5:48 PM