Beras dan beras pulut yang dirampas anggota PGA7 di pangkalan haram Jeram Perdah, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PGA7
Beras dan beras pulut yang dirampas anggota PGA7 di pangkalan haram Jeram Perdah, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas beras serta beras pulut bernilai RM2,393 dipercayai diseludup dari Thailand di pangkalan haram Jeram Perdah, di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, anggota bertugas menjalankan rondaan sebelum terserempak sekumpulan lelaki sedang memunggah barang dari perahu ke sebuah kenderaan.

Katanya, anggota kemudian menghampiri mereka, sebelum lelaki terbabit melarikan diri dan meninggalkan bungkusan serta kereta jenis Perodua Alza berwarna ungu.

"Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan, mendapati mengandungi kampit beras pelbagai jenama yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.

"Anggota kemudian merampas kereta dan beras berkenaan untuk dibawa Balai Polis Jeram Perdah, di sini, bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Kawal Selia Padi Dan Beras 1994.

"Siasatan mendapati, semua beras ini dibawa melalui jalan sungai untuk pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Azhari turut berkongsi kejayaan PGA7 menahan pemuda berusia 28 tahun dipercayai memiliki 103 biji dadah jenis pil kuda di Kampung Kubang Pak Itam, Meranti, di sini, jam 1.30 pagi tadi.

"Ketika kejadian anggota membuat serbuan di rumah suspek sebelum menemui kotak kasut berwarna putih serta satu botol di dalam sebuah bilik dan hasil peperiksaan menemui semua dadah berkenaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Metahamphetamine.

"Suspek ditahan serta hasil dadah dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Bakong bagi siasatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:36 PM