ANTARA produk makanan sejuk beku seludup yang dirampas. FOT ihsan PGA
ANTARA produk makanan sejuk beku seludup yang dirampas. FOT ihsan PGA
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas pelbagai produk makanan sejuk beku seludup bernilai RM17,484 di pangkalan haram Syed Agil, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 6.30 petang itu, anggota membuat rondaan sebelum ternampak sekumpulan lelaki memunggah kotak daripada lori ke dalam stor.

Katanya, anggota meminta dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 55 tahun untuk mengemukakan kad pengenalan diri.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan dijalankan, namun tidak menemui sebarangan barangan yang salah. Anggota kemudian membuat pemeriksaan pada bahagian belakang lori dan menemui 480 kilogram (kg) daging sejuk beku serta 16 kotak mengandungi pelbagai produk lain.

"Anggota menyemak dokumen barangan yang dibawa namun semakan mendapati ia meragukan dan tidak lengkap kerana tiada surat pelepasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM).

"Kedua-dua suspek ditahan manakala lori dan barangan dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi siasatan lanjut " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Azhari turut berkongsi kejayaan PGA7 merampas 200 biji pil kuda bernilai RM2,000 di rumah di Kampung Kubang Kedepel, di sini, semalam.

"Hasil serbuan itu, pihak kami turut menahan tiga suspek lelaki berusia 28 sehingga 30 tahun, yang mana salah seorang daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine.

"Kesemua dadah dirampas serta ketiga-tiga suspek ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 11:08 AM