Zulkifli (tengah) menunjukkan sebahagian 1.5 juta biji pil Eramin 5 di dalam 12 kotak bernilai hampir RM24. FOTO Ramdzan Masiam
Zulkifli (tengah) menunjukkan sebahagian 1.5 juta biji pil Eramin 5 di dalam 12 kotak bernilai hampir RM24. FOTO Ramdzan Masiam
Nur Izzati Mohamad


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup lebih 1.5 juta pil Eramin 5 bernilai hampir RM24 juta dalam serbuan di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 17 Disember lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan, Datuk Zulkifli Yahya berkata, hasil intipan dan maklumat yang diperoleh, pihaknya mengesan kemasukan dadah berkenaan menggunakan syarikat penerbangan dari Taipei, Taiwan pada 14 Disember sebelum membuat serbuan empat hari kemudian.

Beliau berkata, dua lelaki yang dipercayai ejen penghantaran barangan berkenaan berusia 18 dan 34 tahun turut ditahan ketika serbuan bagi siasatan lanjut.

"Kita mengesyaki 12 kotak besar yang dibawa masuk ke kompleks kargo LTAPP mempunyai barang meragukan tidak seperti yang diisytiharkan di dalam borang kemasukan dan terpaksa mengambil masa selama empat hari membuat intipan termasuk mengumpul maklumat.

"Hasilnya, pada 17 Disember lalu, sepasukan penguatkuasa kastam bertindak membuat serbuan dan mendapati kesemua kotak berkenaan mengandungi sejumlah dadah jenis Eramin 5," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM negeri, di sini, hari ini.

Jelasnya, dua suspek yang ditahan kini direman selama 12 hari bermula pada hari tangkapan sehingga Khamis ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dua suspek ini ditahan sejurus mengambil barangan itu yang dikatakan ia hanya sebahagian daripada bahan mekanikal seperti yang diisytiharkan dalam borang kemasukan ke negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, susulan penahanan dua suspek, seorang lagi suspek lelaki hadir menyerah diri ke pejabat JKDM dekat sini pada hari ini untuk siasatan.

"Kita masih lagi menyiasat latar belakang individu yang tampil menyerah diri sebelum mengambil tindakan ke atasnya berhubung penyeludupan dadah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 5:06 PM