Pemilik chalet Kampung Setol, Ashri Abu Hassan,48, melihat kesan kemusnahan di kawasan chalet miliknya akibat banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Pemilik chalet Kampung Setol, Ashri Abu Hassan,48, melihat kesan kemusnahan di kawasan chalet miliknya akibat banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
M Hifzuddin Ikhsan


Yan: Walaupun sudah sebulan berlalu tragedi kepala air dan banjir lumpur melanda daerah ini, perasaan bimbang dan takut setiap kali hujan masih dirasai penduduk berdekatan Gunung Jerai.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, penduduk terutamanya sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar dikejutkan bencana kepala air dan banjir lumpur yang turut mengorbankan enam nyawa selain menyebabkan kerosakan lebih 1,000 rumah.

Bagi penduduk Kampung Setol, Ashri Abu Hassan, 48, keluarganya masih terbayang kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu berikutan ia tidak pernah terjadi selamanya menetap di rumah pusaka berkenaan.

Katanya, banjir lumpur setinggi kira-kira 0.8 meter itu menyebabkan hampir kesemua peralatan rumah termasuk dokumen penting seperti Sijil Kelahiran yang disimpan di dalam almari di ruang tamu rosak.

"Setiap kali hujan di Gunung Jerai, kami yang duduk di bawah ini memang tidak senang duduk kerana tahu kepala air boleh melanda pada bila-bila masa.

"Bagi kami, kepala air bukan perkara baru kerana memang kerap melihatnya terjadi, cuma selama ini tidak pernah pokok balak dan banjir lumpur melimpah sehingga masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kejadian yang dikategori sebagai bencana geologi yang terburuk pernah berlaku di Gunung Jerai itu turut menghanyutkan pokok balak tumbang yang menghentam rumah penduduk serta menyebabkan titi roboh.

Bagi seorang lagi penduduk Kampung Setol, Mohd Nasir Shuib, 41, sebolehnya dia tidak mahu kejadian kepala air itu berlaku lagi selepas banjir lumpur menyebabkan peralatan dan perkakas membuat keropok lekornya mengalami kerosakan.

"Saya alami banyak kerugian, selain kelengkapan rumah seperti televisyen, almari pakaian dan meja makan yang rosak, peralatan memproses keropok lekor yang diletak di luar rumah turut tidak dapat berfungsi dengan baik lagi.

"Penat mencuci rumah dan kawasan sekitar masih belum habis lagi, selepas ini saya perlu fikir bagaimana hendak kembali berniaga kerana perniagaan keropok lekor ini adalah punca pendapatan utama keluarga," katanya.

Bagi peniaga runcit, Hock Lean seng, 67, berharap kerajaan dapat membantu menyegerakan pemulihan pekan Yan yang turut terjejas dalam kejadian berkenaan.

"Kebanyakan kedai di pekan Yan sudah dibuka kembali dan Majlis Daerah Yan (MDY) juga masih meneruskan kerja pembersihan dan membaiki kemudahan yang rosak.

"Cuma apabila pusat rekreasi tidak lagi dapat dibuka, maka pengunjung luar tidak boleh datang melakukan aktiviti seperti perkhemahan menyebabkan perniagaan agak perlahan ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 5:00 PM