Izad Thaqif Hassan


Yan: "Suami meninggal dunia 12 hari sebelum tragedi berlaku dan sejak itu saya sekeluarga hilang tempat bergantung," kata Fuziah Morad, 53, penduduk Kampung Permatang Keramat, di sini, yang rumahnya turut terjejas akibat tragedi kepala air Gunung Jerai tiga minggu lalu.

Menurutnya, belum reda kesedihan pemergian suami, Ezham Ku Hashim, 63, yang menghembuskan nafas terakhir ketika tidur, dia dan anak diuji pula dengan kejadian kepala air hingga rumah mereka dilimpahi lumpur.

Wanita terbabit yang mempunyai empat anak masing-masing tiga perempuan dan seorang lelaki berusia 11 hingga 27 tahun terpaksa bertungkus lumus untuk membersihkan rumah mereka.

"Dengan kudrat yang ada kami sekeluarga mencuci rumah sekadar yang mampu dan tidak boleh terlalu berharap kepada orang lain kerana mereka juga turut dilanda musibah sama.

"Walaupun mengambil masa, saya dan anak tetap mencuci sedikit demi sedikit setiap hari," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, kepenatan wanita terbabit sedikit terubat apabila sepasukan 40 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah sudi membanting tulang membantu mencuci rumahnya.

Fuziah berkata, dia amat terharu dengan kesudian serta keprihatinan pasukan JIM yang bergotong royong membersih kawasan rumahnya dan juga beberapa lagi kediaman jiran.

"Memang saya memerlukan bantuan membersihkan rumah lebih-lebih lagi untuk mengorek tanah kawasan sekeliling luar bagi dijadikan longkang.

"Dengan kehadiran mereka (JIM) dapat mengurangkan beban kami sekeluarga dan kerja menjadi lebih cepat kerana dilakukan secara bergotong-royong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 8:37 PM
SEBAHAGIAN anggota JIM Kedah membantu melakukan kerja pembersihan rumah penduduk. FOTO Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN anggota JIM Kedah membantu melakukan kerja pembersihan rumah penduduk. FOTO Luqman Hakim Zubir