GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang penjaga pusat asuhan kanak-kanak swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hari ini.

Tertuduh, Ng Shu Tian, 24, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di bawah peliharaannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pusat asuhan kanak-kanak swasta di Taman Molek, Johor Bahru kira-kira 4 petang pada 22 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Ooi Hong Ming.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di Balai Polis Bukit Gambir, Muar setiap bulan.

Ahmad Kamal menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 1:12 PM