PENDUDUK di Nanga Ngungun, Kanowit dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dilanda banjir, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
PENDUDUK di Nanga Ngungun, Kanowit dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dilanda banjir, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Hujan lebat sejak semalam mengakibatkan dua lokasi di utara dan tengah Sarawak dilanda banjir, hari ini.

Banjir melanda Kampung Siang-Siang di Lawas (utara Sarawak) manakala di tengah Sarawak pula menjejaskan tiga rumah panjang di Nanga Ngungun di Kanowit iaitu Rumah Panjang Langong, Rumah Panjang Suzusie Lily dan Rumah Panjang Nyalong.

Susulan itu, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Dewan Serbaguna JKKK Ngungun, Kanowit bagi menempatkan 91 mangsa daripada 30 keluarga.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, akibat banjir di Nanga Ngungun itu, rumah yang terjejas dinaiki air sehingga 0.5 meter.

"Pihak bomba menerima panggilan pada 11.11 pagi yang memaklumkan beberapa kediaman penduduk di Nanga Ngungun dinaiki air.

"Bomba kemudiannya terpaksa menggunakan perahu penduduk kampung untuk memindahkan mangsa banjir ke PPS di Dewan Serbaguna JKKK Ngungun," katanya.

Sementara itu, di Lawas, bomba menerima panggilan pada 12.13 tengah hari memaklumkan banjir melanda Kampung Siang-Siang.

"Anggota bomba yang bergerak ke lokasi mendapati kawasan kampung itu dinaiki air lebih satu meter.

"Sebanyak 34 rumah terjejas membabitkan seramai 350 penghuni, bagaimanapun tiada pemindahan penduduk dilakukan berikutan paras air menunjukkan trend menurun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 5:25 PM