Mayat mangsa diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Erika George


Lawas: Lelaki warga emas yang dihanyutkan arus di Jalan Sungai Sepakoi, di sini, malam tadi ditemukan lemas pada jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri terjatuh, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa berusia 63 tahun ditemui pekerja pembersihan jalan di Kuala Sungai Sepakoi- Long Tengoa pada 7 pagi tadi.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Lawas bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dalam kejadian pada 11.30 malam tadi, mangsa dikatakan sedang memeriksa paras air yang menenggelamkan jalan sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 5:42 PM