SUPERINTENDAN Sazalee Adam (kiri) menunjukkan sambungan haram dilakukan sindiket mencuri eletrik untuk lombong bitcoin. FOTO Ihsan PDRM
SUPERINTENDAN Sazalee Adam (kiri) menunjukkan sambungan haram dilakukan sindiket mencuri eletrik untuk lombong bitcoin. FOTO Ihsan PDRM
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Sebanyak 393 mesin melombong bitcoin dirampas dalam serbuan di dua permis di daerah ini, hari ini.

Serbuan dilakukan jam 2 petang oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dengan dibantu pasukan siasatan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dua premis yang beroperasi sejak tujuh bulan lalu itu menyebabkan kerugian RM840,000 kepada TNB.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati terdapat penyambungan haram dilakukan sindiket itu untuk mencuri elektrik.

"Penyambungan haram ini adalah kesalahan dilakukan sindiket pada pemasangan kabel milik TNB di premis terbabit.

"Siasatan lanjut mendapati akaun TNB di premis berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki," katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, pihak TNB mengambil tindakan memutuskan bekalan elektrik dan penyambungan haram di premis berkenaan.

"Kita sedang mengesan individu atau pemilik premis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Semua peralatan digunakan sindiket dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 426 KK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 11:54 PM