SENIOR Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais mengadakan operasi ke atas premis yang dipercayai mencuri elektrik bagi menjalankan kegitan melombong mata wang digital, Bitcoin. FOTO ihsan PDRM
SENIOR Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais mengadakan operasi ke atas premis yang dipercayai mencuri elektrik bagi menjalankan kegitan melombong mata wang digital, Bitcoin. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menggempur empat premis di Taman Seri Delima dan Pusat Perniagaan Juru Jaya, di sini, selepas dipercayai mencuri elektrik bagi menjalankan kegiatan melombong Bitcoin, semalam.

Dalam serbuan 4 petang itu, enam lelaki berusia 28 hingga 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat berhubung premis itu membuat penyambungan elektrik haram tanpa melalui meter dan tidak berdaftar.

"Dalam serbuan didapati keempat-empat permis terbabit menjalankan aktiviti perlombongan mata wang digital Bitcoin.

"Kegiatan yang dijalankan itu menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit sebulan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua premis terbabit menjalankan aktiviti itu sejak setahun lalu dan polis sedang menyiasat sama ada wujud unsur sindiket.

"Beberapa peralatan termasuk 322 mesin server crypto currency, telefon bimbit (5), komputer riba (3), router (7) dan kabel serta dua kereta turut dirampas.

"Siasatan mendapati dua daripada enam lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:11 PM