Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak dibenarkan menyertai Persidangan Dewan Undang Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung Rabu ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ini kerana salah seorang daripada mereka disahkan positif Covid-19 manakala dua lagi masing-masing adalah kontak rapat dan individu belum menerima suntikan vaksin.

"Semua ADUN sudah melalui ujian calitan semalam, dan dalam ujian yang kita laksanakan itu seorang daripada ADUN didapati positif Covid-19 dan seorang lagi ADUN diklasifikasikan sebagai kontak rapat.

"Manakala seorang lagi ADUN yang belum menerima vaksin namun bukan menolaknya. Maka, ketiga-tiga ADUN ini tidak dibenarkan menyertai Sidang Dewan yang akan berlangsung nanti," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan ini.

Mohammad Zahir berkata, atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pihaknya sudah menghubungi ADUN terbabit untuk tidak hadir.

"Selain itu, kita mendapati terdapat dua petugas Sidang Dewan dilaporkan positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin kendiri.

"Pagi ini kita terpaksa menjalani angkat sumpah Setiausaha dan Penolong Setiausaha Dewan (sementara) kerana yang sedia ada sudah menjadi kontak rapat serta perlu menjalani kuarantin kendiri," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun persidangan tetap diteruskan menggunakan kaedah gelembung seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Kita cuba sebaik mungkin untuk memastikan semua berjalan lancar dan selamat mengikut nasihat SOP yang sudah ditetapkan KKM dan MKN.

"Oleh kerana itulah kita menggunakan konsep gelembung dan semua mereka yang berkenaan ditempatkan di Hotel Impiana untuk proses pemeriksaan menggunakan ujian calitan setiap hari, apabila mereka datang ke persidangan.

"Seperti sedia maklum, mengikut SOP yang ada selain Dewan utama DUN, empat lagi bilik mesyuarat yang lain dijadikan 'mini chamber'. Mungkin ada perubahan sedikit tetapi cadangan asal adalah Dewan Utama (39) tidak termasuk Speaker dan juga Setiausaha Dewan, manakala Bilik Media (8), Bilik Mesyuarat PAC (4), Bilik Mesyuarat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (4) dan Bilik Mesyuarat Setiausaha Dewan (4)," katanya.

Disamping itu, menurutnya, mengikut SOP Sidang Dewan yang ditetapkan setiap empat jam persidangan akan berhenti selama setengah jam untuk pengaliran udara yang baik.

Sementara itu, katanya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi persidangan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 5:16 PM
    DATUK Mohammad Zahir Abdul Khalid meninjau persiapan sebelum Persidangan DUN. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
    DATUK Mohammad Zahir Abdul Khalid meninjau persiapan sebelum Persidangan DUN. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI