SAYANI (tengah) mendengar taklimat dari anggotanya berkaitan pencarian dua mangsa di lokasi SAR Titi Hayun. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SAYANI (tengah) mendengar taklimat dari anggotanya berkaitan pencarian dua mangsa di lokasi SAR Titi Hayun. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Yan: Anjing dari Unit K-19 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan bau busuk di kawasan Titi Hayun, hari ini tidak jauh dari lokasi penemuan mayat kedua dan ketiga dalam kejadian kepala air, Rabu lalu.

Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon berkata, bau itu dikesan pada jam 4 petang antara 200 hingga 300 meter dari tapak rumah dusun di kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu pihaknya dengan bantuan jengkaut untuk mengorek kawasan itu untuk mencari kesan bau berkenaan.

"Anjing K-19 yang kita bawa ini mengesan petanda kemungkinan mangsa kelima berada di kawasan itu.

"Bagaimanapun, usaha pencarian ini menghadapi kesukaran dari segi longgokan batu dan kayu yang besar selain akar yang bertimbun.

"Keupayaan anggota penyelamat untuk melakukan kerja penyelamatan menggunakan tenaga agak terhad dan kita terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengesan kedudukan bau itu.

"Alhamdulillah setakat jam 5 petang ini, cuaca masih elok dan usaha pencarian masih berjalan," katanya.

Sayani berkata, operasi turut dilakukan untuk mencari mangsa keenam yang masih hilang di kawasan Batu Hampar, di sini.

Terdahulu, Sayani turut melakukan pemantauan di kawasan SAR untuk melihat kerja pencarian yang dilakukan pelbagai agensi termasuk JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kejadian jam 4.30 petang Rabu lalu, empat ditemukan meninggal dunia, seorang selamat, manakala dua lagi masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:16 PM