Pasukan penyelamat melakukan pencarian di lokasi pencarian di Titi Hayun. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pasukan penyelamat melakukan pencarian di lokasi pencarian di Titi Hayun. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Usaha mengesan dua mangsa yang hilang di Titi Hayun dan Salak Denai di sini masih dipergiatkan dengan kekuatan 305 anggota dari pelbagai agensi penyelamat.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, setakat jam 3 petang semalam masih belum ada sebarang petunjuk untuk mengesan dua mangsa terbabit.

Beliau berkata, khidmat dua anjing pengesan dari Unit K-9 Sungai Petani serta K-19 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dilakukan di sekitar kawasan pencarian.

"Operasi sedang berjalan malah kita turut menggunakan dron untuk membantu mengesan kedudukan mangsa," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi (PKB) Titi Hayun di sini, hari ini.

Operasi turut membabitkan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan lain-lain agensi.

Dalam perkembangan lain, Shahnaz berkata, laluan ke Gunung Jerai ditutup dan pihaknya menunggu Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk laporan struktur semula.

Bagaimanapun, hanya satu lorong dibuka untuk kegunaan kakitangan Jerai Hill Resort, Telekom Malaysia (TM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada waktu siang sahaja.

"Setakat ini 11 kakitangan Jerai Hill Resort sudah dibawa turun dan hanya kakitangan resort berkenaan yang tinggal di atas Gunung Jerai.

"Dalam pada itu, polis menerima 99 laporan berhubung rumah penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur di daerah ini.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu," katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 petang Rabu lalu, empat terkorban dalam kejadian banjir lumpur dan kepala air di Gunung Jerai, Titi Hayun dan Salak Denai.

Kejadian kepala air itu menyebabkan limpahan air sekaligus mengakibatkan banjir yang disertai lumpur di beberapa kawasan berhampiran Gunung Jerai dan Merbok di daerah Kuala Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 4:08 PM