OPERASI SAR sedang berjalan di lokasi tumpuan dengan menggunakan kekuatan 400 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
OPERASI SAR sedang berjalan di lokasi tumpuan dengan menggunakan kekuatan 400 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Yan: Polis tidak menolak kemungkinan dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian fenomena kepala air di Titi Hayun dan Batu Hampar, di sini, tertimbus di bawah timbunan kayu dan batu.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, setakat ini operasi sedang berjalan di lokasi tumpuan dengan menggunakan kekuatan 400 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi.

Menurutnya, operasi hari keempat hari ini turut menambah aset dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Anggota APMM ditempatkan di muara sungai berikutan mayat keempat ditemui di Keda Sungai Udang selepas dihanyutkan dari Titi Hayun.

"Operasi hari ini agak agresif kerana kita menggunakan jengkaut untuk memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bencana Titi Hayun, di sini.

Shahnaz berkata, dengan jumlah anggota SAR yang besar selain dibantu Unit Anjing Pengesan K-19 dan Unit Dron, pihaknya berharap dapat menemui dua mangsa yang masih hilang dengan segera.

Menurutnya, walaupun setakat ini ada petunjuk, pihaknya akan melakukan pengesahan terlebih dahulu dan operasi SAR akan disambung esok.

"Setakat ini, operasi SAR di darat masih dikekalkan radius seperti sebelum ini, cuma kita perlu melakukan pencarian lebih dalam dengan membuat galian di kawasan seluas tujuh kilometer," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 8:06 PM