Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Jasadnya ditemukan dalam keadaan baik, bersih dan sempurna walaupun sudah lima hari dihanyutkan akibat kejadian kepala air di Gunung Jerai ini.

"Mangsa kelima itu ditemui menghadap ke arah kiblat dan tidak mengalami kecederaan teruk cuma luka sikit akibat ditimpa kayu," kata Mohamad Izham Aminuddin.

Mohamad Izham adalah pegawai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang turut serta dalam misi membantu mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, lima orang meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa masih hilang dan operasi pencarian kini tertumpu di kawasan Titi Hayun.

Mangsa kelima, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, bekas Imam Masjid Jamek Badlishah, di sini, ditemui di sebalik timbunan kayu ketika operasi SAR.

Menurut Mohamad Izham, ketika itu, jengkaut sedang melakukan kerja-kerja menolak kayu besar yang bertimbun di sekitar kawasan Puteri Ayu Chalet di Batu Hampar.

Katanya, ketika itu, dia bersama pasukan Storm melakukan tugas pencarian di sekitar kawasan itu.

"Pada masa sama, saya terhidu bau tetapi bukan seperti bau yang pernah saya sertai dalam operasi SAR sebelum ini dan waktu itu saya nampak beberapa ekor lalat di sebalik timbunan kayu.

"Saya kemudian turun ke dalam lubang sedalam 0.6 meter sambil menyuluh ke arah lalat berkenaan sebelum ternampak 'sesuatu' dan meminta jengkaut memberhentikan operasi ketika itu," katanya ketika ditemui di Titi Hayun, semalam.

Menurutnya, ketika itu jasad warga emas itu ditemui di sebalik timbunan kayu yang banyak itu dan mereka berjaya mengeluarkan mangsa pada 3.17 petang.

Katanya, mangsa kelima itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 9:42 AM