GAMBAR fail. FOTO Bernama
GAMBAR fail. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kebenaran operasi bagi 11 aktiviti ekonomi termasuk kedai gunting rambut dan premis cuci kereta yang diumumkan kerajaan Persekutuan Ahad lalu, masih tidak terpakai serta tidak dibenarkan beroperasi di negeri ini.

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam satu notis pemberitahuan yang dimuat naik di akaun Facebooknya berkata, ini berikutan Johor masih belum mencapai syarat utama iaitu kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.

"Penting untuk dijelaskan kemudahan terbaharu yang diumumkan itu hanya akan terpakai dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mestilah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu yang mahu memanfaatkan kemudahan itu juga perlu sudah menerima vaksinasi lengkap.

"Sehubungan itu, kebenaran bagi 11 jenis ekonomi berkenaan pada masa kini adalah masih belum terpakai kepada Johor kerana negeri ini masih belum mencapai kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sekurang-kurangnya 50 peratus," kata notis itu.

Notis sama turut dimuat naik beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor susulan kekeliruan timbul dalam kalangan pemilik perniagaan dan orang ramai di negeri ini, sejak semalam.

Menurut statistik dimuat naik di laman Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Johor hanya mencatatkan kadar 27.8 peratus, setakat 11.59 malam tadi, iaitu antara kadar terendah di antara 14 negeri.

Ahad lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembukaan semula 11 jenis ekonomi berkuat kuasa semalam selepas mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ia membabitkan operasi kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Bagaimana pun, Muhyiddin berkata, penting untuk dijelaskan, kemudahan terbaharu yang yang diumumkan itu terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.

Selain itu, katanya lagi, individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan itu juga mestilah menerima vaksinasi lengkap.

Maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 9:22 AM