Pasukan memerhati kawasan Gunung Kinabalu bagi mengenalpasti tapak pendaratan yang sesuai dan selamat. FOTO Ihsan PGU
Pasukan memerhati kawasan Gunung Kinabalu bagi mengenalpasti tapak pendaratan yang sesuai dan selamat. FOTO Ihsan PGU
Juwan Riduan

Ranau: Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pangkalan Sabah berjaya mengadakan latihan dalam perkhidmatan (LDP) bagi operasi dan menyelamat membabitkan kawasan Gunung Kinabalu.

Latihan yang dikenali sebagai 'High Altitude Flying and Mountain Operation' Rintis Kinabalu itu bagi menguji kemampuan pesawat dan pasukan berkenaan.

Komander Pangkalan PGU Sabah Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata, latihan yang diadakan itu mampu menguji kemampuan pesawat helikopter Agustawesland AW139 dan juruterbang serta pemerhati udara mengendalikan pesawat.

Menurutnya, ia turut diadakan bagi melihat kelayakan semua juruterbang yang berada di Pangkalan Sabah.

"Latihan itu turut dilihat mampu meningkatkan kemahiran dan keupayaan menerbangkan pesawat serta mendarat di kawasan tanah tinggi.

"Ia disebabkan situasi itu amat memerlukan kemahiran dan kompetensi yang tinggi disamping sebagai persiapan 'Search And Rescue Exercise' (SAREX) yang dijadualkan akan berlangsung pada bulan November dan Disember depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, latihan pendaratan berkenaan berjaya dilaksanakan di tapak pendaratan Paka di kawasan Gunung Kinabalu.

Katanya, latihan turut disertai Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Simiun Lomudin bersama Pengurus Taman-Taman Sabah (TTS) Kinabalu Park Maureen Jane Tapuong dan Renjer TTS bagi membantu mengenal pasti tapak pendaratan yang sesuai dan selamat.

"Hasil tinjauan terbabit, beberapa cadangan diberikan bagi penambahbaikan tapak pendaratan termasuklah menurap lantai serta memasang petunjuk arah mata angin (wind sock).

"Pembinaan tangga keselamatan untuk ke tapak pendaratan dan membina tapak untuk transit pengusung juga perlu dilakukan sementara mangsa menunggu pesawat untuk melakukan pendaratan," katanya.

Ahmad Lokman berkata, kekuatan fizikal dan mental pasukan pendaki PGU Sabah yang berperanan sebagai penilai tapak turut diuji dan kejayaan mendaki sehingga ke puncak Gunung Kinabalu adalah bukti kebolehupayaan ini.

"Latihan ini disertai seramai 34 pegawai dan anggota PGU dari pelbagai seksyen termasuk kru helikopter membabitkan dua jurulatih penerbangan PGU Pangkalan Semenanjung dan Unit Dron PGU Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 1:37 PM