Anggota PPM tahan lelaki tempatan kerana menceroboh kawasan larangan. FOTO Juwan Riduan
Anggota PPM tahan lelaki tempatan kerana menceroboh kawasan larangan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan bot pancing yang menceroboh kawasan larangan pelantar minyak ERB West di perairan Pulau Mengalum, di Kota Kinabalu, semalam.

Bot dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun itu ditahan anggota PPM Kota Kinabalu ketika menjalankan Op Gelora, 3.30 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya mengesan sebuah bot pancing disyaki menceroboh kawasan pelantar minyak ERB West.

“Kita kemudian menahan lelaki tempatan bersama bot pancing menggunakan enjin sangkut kerana menceroboh kawasan larangan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan bernilai RM19,530 dibawa ke Markas PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 serta diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 10:11 AM