Pasukan pengurusan jenazah Islam Covid-19 melakukan kerja-kerja pengebumian. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Pasukan pengurusan jenazah Islam Covid-19 melakukan kerja-kerja pengebumian. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang bersetuju menanggung kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, semalam.

Katanya, keputusan itu juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri akibat beban kewangan terpaksa ditanggung keluarga waris.

"Seperti sedia maklum, semua pengurusan jenazah berkaitan Covid-19 diuruskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital dengan menggunakan khidmat badan sukarela.

"Badan sukarela ini pula mengenakan kadar bayaran tertentu kepada keluarga waris bagi kerja mengkafan, tayammum, solat, menggali kubur dan pengkebumian selain menyediakan kain kafan, keranda dan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas.

"Dengan keputusan MMK negeri semalam, badan sukarela berkenaan kini boleh menuntut bayaran daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) khususnya di masjid daerah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, Mesyuarat MMK juga bersetuju menubuhkan sebuah tabung khas berkaitan pengurusan jenazah Covid-19 yang dikendalikan Jaip.

Sebagai permulaan, katanya, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:55 PM