Nor Faizi Mamat, 25, dari Kampung Bukit Parit memegang lembu baka limosin yang dijual pada harga RM18,000 kepada penternak di Selangor. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Nor Faizi Mamat, 25, dari Kampung Bukit Parit memegang lembu baka limosin yang dijual pada harga RM18,000 kepada penternak di Selangor. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Seorang penternak lembu menjual lembu baka limosin kesayangannya dengan harga RM18,000 seekor, baru-baru ini.

Lembu baka berusia setahun 10 bulan dianggarkan seberat 900 kilogram dan dipanggil John itu dibeli tunai oleh seorang penternak dari Selangor.

Nor Faizi Mamat, 25, dari Kampung Bukit Parit, di sini, berkata, dia menternak lembu itu sejak sebulan lalu sebelum ia ditawarkan dengan harga berkenaan.

"Saya beli John daripada seorang kenalan di Kampung Binjai Rendah dengan harga tinggi untuk dijadikan pembaka di kandang.

"Bagaimanapun selepas gambar dan video John dimuat naik di media sosial, saya terus mendapat pesanan daripada pembeli berkenaan yang berminat membeli John.

"Jika ikutkan hati saya enggan menjualnya kerana bukan senang untuk mendapatkan lembu baka bersaiz besar seperti itu pada usia di bawah dua tahun," katanya.

Menurutnya, dia mengambil masa dua minggu sebelum membuat keputusan dan pada mulanya meletak harga RM19,000 dengan harapan pembeli tidak jadi membelinya.

Katanya, selepas melihat kesungguhan pembeli itu yang sanggup menawarkan harga RM18,000, dia terdorong untuk menjualnya.

"John seberat 900kg sekarang dan dalam tempoh setahun lagi ia boleh mencapai berat satu tan metrik.

"Saya menggunakan hasil jualannya untuk membeli dua lembu baka charolais dan limosin lain pada harga RM10,000 dan RM8,000 bagi menggantikan John," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 1:14 PM