FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ahmad Hasbi

Seremban: Masjid dan surau terpilih di negeri ini bersedia untuk menerima jemaah solat Jumaat, hari ini, selepas lebih dua bulan tidak dapat melaksanakan ibadah berkenaan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kebanyakan rumah ibadah berkenaan sudah menjalankan persediaan rapi memandangkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Ahli Jawatankuasa Masjid Ibu Khaldun, Senawang, Ahmad Kamil Jaafar berkata, sebahagian besar persediaan membabitkan SOP sedia ada yang dipraktikkan ketika PKP sebelum ini.

"Pada kali ini hanya 50 jemaah dibenarkan hadir dengan syarat lengkap suntikan vaksin dan sudah melalui tempoh 14 hari.

"Individu termasuk jawatankuasa masjid yang belum melepasi tempoh 14 hari tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat itu.

"Untuk itu, kami hanya membuka satu pagar utama sahaja dan meletakkan sukarelawan dalam kalangan jawatankuasa untuk mengira bilangan jemaah yang masuk dan melakukan pemeriksaan terhadap sijil vaksinasi masing-masing," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Setiausaha Surau Al-Qudwah, Seremban 2, Abd Malek Mohamad berkata, pintu surau hanya akan dibuka 30 minit sebelum azan pertama dan jemaah yang hadir awal akan menunggu di luar masjid.

"Kami menyediakan kerusi dan khemah kepada jemaah yang datang awal. Semakan sijil vaksinasi kemudian dilakukan dan jumlah jemaah akan dikira sebelum dibenarkan masuk.

"Sekurang-kurangnya dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia akan ditugaskan menjaga pintu masuk. Untuk surau, hanya 30 jemaah dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dan individu yang datang lambat tidak dibenarkan masuk," katanya.

Menurut garis panduan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pihak masjid dan surau bertanggungjawab melantik pegawai keselataman atau sukarelawan bagi membantu laluan keluar masuk jemaah.

Selain itu, pengimbas suhu, kod pengimbas My Sejahtera dan cecair pembasmi kuman serta menyediakan tanda pada saf dengan jarak 1.5 meter perlu disediakan setiap masjid dan surau.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran diberikan kepada mereka yang sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 seperti solat di masjid dan surau.

Kelonggaran itu terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:20 PM