SOLAT berjemaah di masjid mengekalkan penjarakan sosial. FOTO Arkib NSTP
SOLAT berjemaah di masjid mengekalkan penjarakan sosial. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan secara berjemaah di masjid dan surau, 31 Julai ini selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata, jumlah jemaah yang dibenarkan berdasarkan had kapasiti keluasan ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter antara jemaah.

Menurutnya, pelaksanaan solat sunat Aidiladha juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan dan kehadiran hendaklah bersama mahram.

"Memandangkan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat dan selaras dengan ketetapan ulil amri (pemerintah), adalah ditegaskan bahawa solat Jumaat wajib dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia ketika ini.

"Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat," katanya.

Beliau berkata, hanya ibadah korban yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid dan surau dibenar untuk dilaksanakan pada 31 Julai hingga 3 Ogos ini dengan lokasinya terhad di kawasan halaman masjid dan surau.

"Kebenaran ini juga diberikan terhad dengan berasaskan permohonan dan kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta tertakluk kepada pematuhan garis panduan.

"Kehadiran semasa melaksanakan aktiviti ibadah korban juga hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia. Maklumat peserta dan petugas yang melaksanakannya hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang penyembelihan serta pengagihan," katanya.

Shahrul Azam berkata, Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan satu garis panduan pelaksanaan solat sunat Aidiladha dan aktiviti ibadah korban kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 9:00 AM