Rohaniza Idris dan Nor Ain Mohamed Radhi

PERHIMPUNAN Agung Tahunan Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 28 hingga 30 Disember ini mencatat sejarah tersendiri kerana menjadi persidangan pertama selepas menjadi kerajaan.

Sempena Perhimpunan Agung Tahunan itu juga buat kali pertama, persidangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi turut diadakan.

Perhimpunan bermula pada Jumaat ini dengan perasmian perhimpunan Srikandi dan Armada pada sebelah malam disempurnakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Persidangan dan perbahasan Srikandi dan Armada diteruskan pada Sabtu dan pada sebelah malamnya berlangsung majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan yang disempurnakan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada Ahad, persidangan dimulakan acara perbarisan dan menaikkan bendera parti yang dihadiri Dr Mahathir dan barisan kepemimpinan parti.

Perbahasan diteruskan sehingga tengah hari manakala ucapan penangguhan oleh Ketua Srikandi, Ketua Armada, Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden bermula jam 3.30 petang.

Selepas itu, majlis penutupan perhimpunan dan ucapan penggulungan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU.

Seramai 3,000 perwakilan daripada 135 bahagian di seluruh negara, termasuk wakil daripada 98 sayap Srikandi dan 115 Armada akan bersidang sepanjang tiga hari berkenaan.

Perhimpunan terbesar parti BERSATU itu turut membabitkan penyertaan wakil pelajar dan Kelab Bunga Raya dari luar negara.

Sesi perbahasan diadakan secara tertutup, namun perhimpunan kali kedua itu masih memberi kebebasan kepada perwakilan menyampaikan pandangan dan isi hati terutama isu kekeliruan mengenai soal perjalanan dan pentadbiran parti.

Dijangka mendapat liputan luas media, agenda utama persidangan tertumpu kepada usaha parti memperbaiki kerajaan yang rosak akibat kecuaian pemerintahan yang sebelum ini.

Pada masa yang sama, perhimpunan kali ini pasti menjadi medan untuk membangkitkan soal kedudukan parti dalam Pakatan Harapan yang masih baharu serta pentadbiran kerajaan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 3:28 PM