Asrol Awang


Kuantan: Seorang lelaki ditemukan lemas, hari ini, selepas terjatuh di Sungai Padang, dekat Sungai Lembing, di sini, ketika memancing bersama dua rakannya, petang semalam.

Mayat mangsa, Azam Zahari Mat Nawi, 42 dari Kampung Padang, di sini, ditemui di dasar sungai itu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan pada 8.50 pagi, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, berdasarkan laporan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.11 malam tadi.

Beliau berkata, susulan laporan itu, seorang pegawai bersama enam anggota dari BBP Indera Mahkota, di sini diarahkan ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut dibantu pasukan PPDA BBP Kuantan dengan kekuatan seorang pegawai dan empat anggota.

"Bagaimanapun operasi pada hari pertama semalam gagal menemui mangsa sebelum ditangguhkan dan disambung hari ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira lima meter dari lokasi kejadian pada kedalaman tiga meter.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.08 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:35 PM