Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 3.97 juta individu di negeri Fasa 2 dan Fasa 3 yang sudah menerima vaksinasi lengkap setakat semalam bakal menerima beberapa kemudahan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula esok.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu dibuat secara berhati-hati selepas mengambil kira manfaat yang akan diterima individu terbabit.

Katanya, kerajaan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak dalam sektor kesihatan, ekonomi dan sosial kerana menyedari timbul kebimbangan terutama susulan penularan varian baharu seperti Delta.

"Kerajaan sudah melakukan pemerhatian yang teliti mengenai perkara ini termasuk mengambil kira data-data penilaian risiko yang diperolehi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Salah satu dapatan yang penting adalah daripada jumlah kes jangkitan Covid-19 harian, 96 peratus daripadanya berada dalam kategori satu dan kategori dua.

"Ini menunjukkan vaksin dibekalkan kepada orang ramai di negara ini berkesan dalam membantu memberikan perlindungan terhadap kesan lebih memudaratkan," katanya pada sidang media secara dalam talian, hari ini.

Hishammuddin berkata, kerajaan turut membenarkan kemudahan membabitkan keagamaan dan sosial berdasarkan pelaksanaan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Yang sentiasa menjadi keutamaan kerajaan adalah mengimbangi tiga faktor iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat; ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat.

"Ia membabitkan soal kesihatan mental selepas terpaksa berada dalam situasi pandemik dalam tempoh agak lama. Dengan beberapa kemudahan ini, kerajaan mengharapkan rakyat khususnya mereka yang lengkap vaksinasi akan berasa sedikit lega.

"Ini adalah salah satu sebab kenapa kerajaan membenarkan pelaksanaan kemudahan-kemudahan untuk mereka yang lengkap vaksinasi," katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah kawalan dan pencegahan perlu dilaksanakan dengan berdisiplin dan bertanggungjawab termasuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta menjaga kebersihan diri.

"Pada masa sama, setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh agensi serta kementerian berkaitan dalam membenarkan kemudahan-kemudahan yang diumumkan semalam (kelmarin) juga perlu dipatuhi.

"Saya percaya rakyat Malaysia adalah masyarakat yang bertanggungjawab dan kita semua akan mampu keluar bersama-sama daripada belenggu pandemik ini sedikit masa lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 8:04 PM