GAMBAR hiasan. FOTO AZIAH AZMEE
GAMBAR hiasan. FOTO AZIAH AZMEE
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini menetapkan semua kemudahan diumumkan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan bersama dengan syarat vaksinasi lengkap bagi setiap fasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu mengambil kira perkembangan terkni peralihan fasa PPN di kebanyakan negeri dan dominasi varian Delta dalam kalangan varian baharu Covid-19 yang dikesan di dalam negara.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju supaya setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal bagi semua fasa PPN.

"Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata, perincian mengenai SOP fasa PPN akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat.

"Kita tidak selamat sehingga semua selamat. Saya ingin tegaskan kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan,tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan," katanya yang turut menegaskan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali serius jika masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan.

Tambahnya, disebabkan itu, tumpuan juga mesti diberikan kepada pendidikan masyarakat atau pemerkasaan komuniti supaya seluruh masyarakat faham peranan mereka dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik ini.

Beliau turut memberitahu, langkah pembukaan semula sektor sosial dan ekonomi di dalam negara mesti dilakukan dengan berhati-hati dan selamat.

"Oleh sebab itu, pada 8 Ogos dan 15 Ogos 2021, kerajaan mengumumkan kemudahan sektor sosial dan ekonomi hanya bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap.

"Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:41 PM