Pengunjung memberi makanan burung kasawari ketika tinjauan di Taman Ular dan Reptilia Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Pengunjung memberi makanan burung kasawari ketika tinjauan di Taman Ular dan Reptilia Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aizat Sharif


Kangar: Peralihan Perlis ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula pada Rabu lalu turut membuka peluang kepada sektor pelancongan dalam negeri kembali 'bernyawa'.

Selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak tempat pelancongan yang menarik seperti Taman Ular dan Reptilia Negeri Perlis, Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dan View Point Wang Kelian di negeri ini, mula dibuka untuk kunjungan masyarakat setempat.

Tinjauan di Taman Ular dan Reptilia Perlis, di sini, mendapati pengunjung mengambil peluang cuti hujung minggu untuk melawat ke taman haiwan berkenaan selepas ia mula dibuka pada Khamis lalu.

Pengunjung, Nor Syafiqah Abd Razak, 32, berkata, dia bersama rakannya mengambil peluang cuti hujung minggu untuk bersiar-siar di Taman Ular dan Reptilia selepas terpaksa 'berkurung' di rumah dan pejabat.

"Apabila kerajaan membenarkan Perlis beralih ke Fasa Ketiga PPN ini, saya berasa bersyukurlah kerana banyak kelonggaran diberikan seperti 'dine-in' di restoran, menaiki kereta dengan kapasiti tiga orang, melancong di dalam negeri dan diharapkan keistimewaan ini dapat kekal.

"Siapa yang tidak bosan kerana tidak dapat berbuat apa-apa atau pergi ke tempat menarik walaupun dalam negeri tetapi kesempatan yang diberikan ini, saya gunakan dengan mengajak rakan untuk pergi bersiar-siar di taman haiwan ini.

"Namun begitu, dalam masa yang sama, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan harus diutamakan dan diamalkan selalu bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 di negeri ini dapat dikurangkan," katanya.

Bagi, Rohaizat Bajuri, 29, berkata, pembukaan semula lokasi dan tempat menarik di Perlis ini sekurang-kurangnya memberikan peluang kepadanya dan keluarga untuk beriadah kerana sudah lama tidak dapat berbuat demikian.

"Saya boleh katakan anak saya sudah menjadi bosan kerana tidak dapat pergi ke mana-mana selepas PKP dilaksanakan, jadi apabila Perlis sudah pun memasuki Fasa Ketiga PPN ini, saya bersyukurlah kerana kebenaran diberikan juga kepada aktiviti pelancongan walaupun sekadar dalam negeri.

"Namun begitu, dalam keghairahan kita melancong dan menikmati tempat menarik dalam negeri ini, janganlah pula dilupakan SOP wajib yang selama ini sudah diamalkan oleh kita kerana tidak mahu lagilah memasuki fasa PKP itu semula disebabkan banyak kekangan aktiviti akan berlaku pada waktu itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, pihaknya melahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana membenarkan Perlis beralih ke Fasa Ketiga PPN yang membolehkan banyak sektor termasuk aktiviti pelancongan dalam negeri sudah boleh beroperasi.

"Di sebalik keghairahan banyak tempat pelancongan sudah mula dibuka, kita tetap perlu mematuhi SOP yang sudah dibenarkan seperti hanya kapasiti 50 peratus sahaja pengunjung dibenarkan memasuki sesuatu tempat rekreasi itu.

"Seperti di Taman Ular dan Reptilia itu, sekiranya ramai pengunjung yang hadir, maka mereka perlu menunggu giliran untuk memasuki tempat berkenaan begitu juga tempat yang lain dan pematuhan SOP ini adalah penting bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 di Perlis dapat dikawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 5:41 PM