KAKITANGAN LUAS menjalankan pemeriksaan pencemaran di Sungai Langat membabitkan sebuah premis kilang kertas kitar semula pada 26 April lalu. FOTO FB LUAS
KAKITANGAN LUAS menjalankan pemeriksaan pencemaran di Sungai Langat membabitkan sebuah premis kilang kertas kitar semula pada 26 April lalu. FOTO FB LUAS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima aduan pencemaran di Sungai Langat membabitkan sebuah premis kilang kertas kitar semula pada 26 April lalu.

LUAS dalam kenyataan memaklumkan, hasil siasatan dan pensampelan yang dilakukan mendapati kualiti air kolam takungan di lokasi berkenaan dalam keadaan baik serta tiada pencemaran ditemui.

Katanya, LUAS sentiasa memandang serius dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan setiap insiden pencemaran diambil tindakan segera bagi memastikan sumber air di negeri ini terpelihara.

"Berdasarkan rekod Indeks Kualiti Air (IKA) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang yang berada di hulu premis itu juga dalam keadaan baik iaitu Kelas II (April 2021) dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air.

"Manakala siasatan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) juga mendapati pelepasan efluen dari premis tersebut tidak memasuki kolam takungan," jelas kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan lanjut yang dijalankan JAS pada 22 Jun lalu mendapati pelepasan efluen perindustrian premis itu mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ditetapkan.

Katanya, JAS juga sudah melakukan pemeriksaan terhadap premis berkenaan sekurang-kurangnya tiga kali bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

"Berdasarkan rekod JAS, IKA Sungai Langat yang terkini pada Julai lalu menunjukkan peningkatan kepada 81 berbanding pada tahun 2020 iaitu 72.

"Hasil siasatan dan penemuan ini sudah dibincangkan bersama JAS dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) serta wakil daripada Gabungan Lestari Alam Kuala Langat (GLAM).

"Justeru, kualiti sumber air dan aktiviti persekitaran di lembangan Sungai Langat yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan menjejaskan muka sauk bekalan air akan dipantau dari semasa ke semasa oleh LUAS, JAS dan pihak-pihak berkuasa yang terlibat," katanya.

Mengulas lanjut, LUAS juga mengambil maklum akan beberapa lagi penemuan dan aktiviti lain di lokasi sekitar dan kawasan berkaitan yang turut diadukan dan dibangkitkan yang mana berpotensi menjadi faktor penyumbang kepada pencemaran dan penurunan kualiti air Sungai Langat.

LUAS menjelaskan akan meneliti lanjut perkara terbabit dan bersama pihak berkenaan untuk memastikan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar yang kondusif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 11:47 AM