MUHAMMAD Firdaus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana memuat naik kenyataan jelik menghina agama Islam. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MUHAMMAD Firdaus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana memuat naik kenyataan jelik menghina agama Islam. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pelukis pelan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana memuat naik kenyataan jelik menghina agama Islam.

Muhammad Firdaus Embong, 39, yang juga Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, OKS secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain dengan menggunakan akaun Facebooknya.

Hantaran itu dilihat di Jabatan Hal Ehwal Agama Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jalan Sultan Mohamad, di sini, pada 10 pagi pada 15 Disember 2021.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 21 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 4:24 PM