Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Kelantan dan Sabah bermula Rabu ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD selama 14 hari dari 28 Julai hingga 10 Ogos depan membabitkan 10 lokaliti.

"Terdapat lapan lokasi di Sabah yang terbabit PKPD iaitu Kampung Kauran, Keningau; tiga perkampungan di Sipitang membabitkan Kampung Menengah, Kampung Buang Sayang dan Kampung Pasir Putih Sipitang; Kampung Mostyn Lama, Kunak; Perumahan Ladang Pontian Kuril, Kinabatangan; Taman Kinarut Ria, Papar dan Kampung Tawadakan, Kota Belud.

"Bagi Kelantan pula membabitkan Kampung Telaga Tujoh, Labok, Machang dan seterusnya PKPD di Pahang adalah di Sungai Klau dan Sungai Chalit, Mukim Gali, Raub; Tapak Bina IBN Highland, Genting Highlands, Bentong dan Kampung Pagar Batu 6, Penjom, Lipis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD yang sedang dilaksanakan di Felda Maokil, Muar, Johor, kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau, Sabah (Kampung Patikang Ulu, Kilang dan Kuarters Focus Lumber, Kilang dan Kuarters Veracity, Kilang dan Kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA dan penempatan warga Indonesia) serta Kampung Madsiang, Penampang, Sabah dilanjutkan sehingga 10 Ogos depan.

Beliau berkata, prosedur operasi standard bagi kesemua PKPD berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, katanya, kerajaan menamatkan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah iaitu Taman Muhibbah Fasa 1, 2 dan 3, Beaufort dan dua lokaliti di Penampang membabitkan Apartment Beverly Hills Fasa 2 dan Kampung Kobusak.

"PKPD di FELDA Lembah Klau, Mukim Gali, Raub, Pahang dan Flat Taman Benus Jaya, Bentong, Pahang serta Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, Kuching, Sarawak ditamatkan seperti yang dijadualkan esok," katanya.

Menurutnya, PKPD Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan ditamatkan esok, lebih awal daripada dijadualkan sebelum ini pada 1 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 9:07 PM