Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Perak akan membuka tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sebagai persiapan awal susulan kes Covid-19 di negeri itu dijangka meningkat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, PKRC baharu itu adalah di Kompleks Rakan Muda Taiping dengan kapasiti 780 katil; Virgo Hotel di Manjung (200 katil) dan Institut Latihan Statistik Malaysia di Sungkai (95 katil).

"Kita bersedia untuk membuka ketiga-tiga PKRC berkenaan apabila ada keperluan," katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin bagi Program Silvervax di Hospital Ar Ridzuan di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan menjangkakan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di Perak dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Sehubungan itu, Saarani berkata, pelbagai persiapan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap jangkaan unjuran itu.

"Apabila Ketua Pengarah membuat unjuran begitu (kes dijangka meningkat), kita di Perak perlu membuat persiapan.

"Disebabkan itu, kita meningkatkan kapasiti PKRC sedia ada di Stadium Badminton di sini, kepada 520 katil berbanding 470 katil sebelum ini," katanya.

Pada masa sama, katanya, satu pusat kuarantin khas untuk Orang Asli di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sinaran Suria di Sungkai dengan kapasiti 470 katil sudah beroperasi sejak 25 Julai lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:31 PM