Dr M Sasikumar.
Dr M Sasikumar.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Doktor pakar yang rebah di hadapan rumahnya di Jalan Pengkalan Lebai Man di sini, semalam disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, mangsa, Dr M Sasikumar, 37, dikejarkan ke hospital berhampiran dan sempat menerima rawatan kecemasan, namun gagal diselamatkan.

Terdahulu pada jam 8.10 malam, polis menerima panggilan daripada seorang pegawai perubatan hospital swasta memaklumkan menerima seorang pesakit yang tidak sedarkan diri.

"Doktor itu memaklumkan sudah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan mangsa termasuk memberi bantuan pernafasan, tetapi gagal dan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Bedah siasat dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia kerana serangan jantung dan ujian Covid-19 yang dilakukan terhadapnya turut mengesahkan dia negatif virus itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anuar berkata, menerusi keterangan ayah mangsa, Dr Sasikumar yang masih bujang dikatakan rebah sejurus tiba di rumah dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Mendiang dikatakan baru lapan bulan berkhidmat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan berita kematiannya turut dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 9:10 PM