SERAMAI 16 jemaah termasuk dua kanak-kanak dikesan melanggar SOP ketika PKP dengan melakukan solat berjemaah di sebuah surau di Pengkalan Chepa, malam kelmarin. FOTO ihsan Pembaca
SERAMAI 16 jemaah termasuk dua kanak-kanak dikesan melanggar SOP ketika PKP dengan melakukan solat berjemaah di sebuah surau di Pengkalan Chepa, malam kelmarin. FOTO ihsan Pembaca
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis menjalankan siasatan berhubung solat berjemaah di sebuah surau di Kampung Batu 6, Pengkalan Chepa, malam kelmarin.

Solat jemaah dipercayai ketika Solat Isyak berkenaan dikatakan membabitkan 16 individu termasuk dua kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam mengatakan berlaku solat berjemaah di surau berkenaan kelmarin.

"Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu akan dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kesemua jemaah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita akan mengambil keterangan semua jemaah berkenaan untuk siasatan lanjut sebelum kompaun dikeluarkan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengeluarkan arahan bahawa hanya empat jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan surau dibenarkan menunaikan solat fardu sepanjang tempoh PKP penuh bermula 1 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 1:21 PM