Syaherah Mustafa dan Hazira Ahmad Zaidi


POLIS Kelantan mengesahkan terdapat sekumpulan penduduk yang masih menunaikan solat Zuhur berjemaah di Masjid Mukim Pintu Geng, Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, anggotanya bergegas ke masjid itu sebaik menerima maklumat dan menasihati penduduk supaya tidak berjemaah.

“Pihak polis menegur secara baik dan memberi penerangan mengenai situasi semasa termasuk menasihati mereka agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sehingga 31 Mac.

“Difahamkan kejadian ini (solat berjemaah) tular di media sosial tetapi didakwa berlaku di tempat lain.

“Namun siasatan dan laporan yang dibuat ia sebenarnya terjadi di Masjid Pintu Geng,” katanya ketika ditemui di Sekatan Jalan Raya berhadapan Balai Polis Melor, Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) Zulkifle Ab Rahman berkata, hanya pegawai masjid iaitu imam tua, imam muda, bilal dan siak yang dibenarkan bersolat jemaah di masjid dalam tempoh PKP.

Malah katanya, mereka juga perlu melepasi ujian saringan kesihatan.

“Semua pihak diharap dapat mematuhi peraturan ini, supaya kita dapat mengelak penularan Covid-19.

“MAIK bekerjasama dengan polis dan ketua jajahan setiap daerah yang sudah melantik petugas khas untuk memantau masjid dan surau selain menasihati mereka yang ingkar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 2:40 PM