Keratan laporan semalam.
Keratan laporan semalam.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Dua lagi jemaah dipanggil bagi membantu siasatan kes imam dan sembilan ahli kariah yang menunaikan solat sunat Tarawih di surau di sini, beramai-ramai, dalam gelap dan tanpa penjarakan fizikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ramadan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kedua-duanya berusia 50 dan 60 tahun hadir memberi keterangan, semalam selepas masing-masing tamat tempoh kuarantin akibat positif Covid-19.

Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan enam jemaah yang sudah diambil keterangan setakat ini, untuk siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342).

Siasatan juga mengikut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin menyebabkan jangkitan penyakit.

"Hasil keterangan yang diambil, mereka mengaku menjalankan aktiviti keagamaan termasuk menunaikan solat berjemaah sepanjang Ramadan ketika pelaksanaan PKP.

"Kebanyakan jemaah yang sudah dipanggil berusia lingkungan 60-an yang terdiri daripada pesara," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, sebelum ini keterangan empat individu termasuk imam yang positif Covid-19 diambil pada 19 Mei lalu.

Katanya, pihaknya masih meneruskan siasatan dan akan memanggil baki empat lagi jemaah.

"Kita belum ambil keterangan mereka kerana mereka positif Covid-19 dan masih menjalani tempoh kuarantin," katanya.

Media semalam melaporkan, seorang imam dan tiga jemaah di Kampung Pauh Lima mengaku menunaikan Tarawih dalam gelap dan secara berjemaah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ramadan lalu.

Berita berkaitan

Imam, jemaah mengaku solat tarawih tanpa penjarakan fizikal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 3:23 PM