GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Individu yang sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) semata-mata untuk menunaikan solat berjemaah di surau sehingga mewujudkan kluster Covid-19 dianggap berdosa.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tindakan melanggar SOP sekali gus tidak mematuhi arahan kerajaan tetap berdosa walaupun solat yang dilakukan secara berjemaah berkenaan sah.

"Saya akui jemaah mahu mengejar pahala yang banyak dengan solat berjemaah di masjid atau surau walaupun kerajaan tidak membenarkannya. Namun, jemaah kena ingat solat di rumah secara berjemaah juga tidak kira walaupun hanya berdua pahala tetap sama (dengan berjemaah di masjid atau surau).

"Tidak semestinya kita perlu berjemaah di surau barulah mendapat pahala yang banyak," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan penduduk di Kampung Pauh Lima dikatakan melanggar SOP apabila menunaikan solat tarawih dalam gelap walaupun kerajaan mengeluarkan arahan hanya empat jemaah dibenarkan sepanjang PKP.

Mohamad Shukri berkata, hadis nabi jelas mengatakan jangan keluar apabila terdapat satu wabak di sesuatu tempat, begitu juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ini bertepatan dengan sunnah.

"Kita jangan pentingkan diri sendiri, sebaliknya perlu memikirkan kepentingan awam. Rakyat sepatutnya mengambil pengajaran apa yang berlaku di India.

"Saya sendiri tidak faham kenapa orang ramai masih tidak faham dan tidak mampu mengikut arahan kerajaan sedangkan sudah lebih setahun kita berdepan wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kejadian yang berlaku di Pauh Lima menjadi pengajaran kepada orang ramai.

Katanya, kerajaan bukan menyekat orang ramai untuk menunaikan solat, namun hanya menegah dilakukan di surau bagi mengelak berlakunya perkumpulan.

"Malah, larangan ini hanya bersifat sementara dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 3:32 PM