DATUK Shafien Mamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DATUK Shafien Mamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Seorang imam termasuk tiga jemaah di Kampung Pauh Lima, di sini, mengaku bahawa mereka menunaikan solat sunat tarawih dalam keadaan gelap secara beramai-ramai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang Ramadan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata mereka adalah antara 10 jemaah yang turut sama menunaikan solat hampir pada setiap malam tanpa penjarakan fizikal di dalam keadaan gelap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, susulan tindakan terbabit, kesemua mereka disahkan positif Covid-19 dan sudah disoal siasat oleh pihak berkuasa pada 19 Mei lalu.

"Buat masa sekarang hanya empat individu ini yang membuat pengakuan di atas perbuatan mereka manakala selebihnya masih belum diambil keterangan susulan perlu menjalani tempoh kuarantin.

"Pihak polis masih menyiasat berkaitan kejadian ini walaupun Kampung Pauh Lima, kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 1 Jun depan.

"Selain itu, perbuatan mereka ini adalah suatu yang tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan kluster Pauh Lima dan terpaksa dilaksanakan PKPD bermula 19 Mei," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini, melaporkan penduduk Kampung Pauh Lima yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sanggup solat tarawih dalam gelap demi mengelak dikesan pihak berkuasa selepas kerajaan negeri mengeluarkan arahan hanya empat jemaah dibenarkan bersolat di surau sepanjang PKP.

Shafien berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Menurutnya, kesemua mereka turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 10:21 PM