PEKERJA buruh warga Rohingya Noor Kalam Soyut Alam (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM7,000 kepada Pegawai Kanan Penguatkuasa Maritim pada tahun lepas. FOTO Bernama
PEKERJA buruh warga Rohingya Noor Kalam Soyut Alam (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM7,000 kepada Pegawai Kanan Penguatkuasa Maritim pada tahun lepas. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Buruh warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkait urusan membawa masuk 25 etnik Rohingya ke negara ini, bulan lalu.

Tertuduh, Noor Kalam Soyut Alam, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Rohingya, di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.

Mengikut pertuduhan, Noor Kalam didakwa secara rasuah memberi wang RM7,000 kepada seorang Pegawai Kanan Penguat kuasa APMM Kedah/Perlis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap penyeludupan 25 warga asing tanpa izin (PATI) Rohingya melalui jalan laut.

Tertuduh yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan laut di Padang Mat Sirat, Langkawi, pada 21 Julai lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian mengarah tertuduh melantik peguam dan menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 12:34 PM