FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata tidak memadai sebaliknya senaman dan pengambilan makanan sihat perlu seiring bagi meningkatkan tahap kesihatan diri.

Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zamberi Sekawi berkata, langkah itu penting dalam usaha melawan ancaman Covid-19 serta varian Delta yang semakin menular.

Dr Zamberi berkata, ia kerana kebarangkalian untuk dijangkiti, menjangkiti atau diancam Covid-19 termasuk varian Delta masih ada sekalipun sudah menerima suntikan vaksin

"Kes semakin banyak dan lebih menakutkan kerana ramai dalam kalangan pesakit dijangkiti tidak mempunyai gejala.

"Jadi, pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan elak mengunjungi tempat sesak masih perlu ketika ini.

"Selain itu, terdapat juga amalan boleh meningkatkan antibodi antaranya pengambilan buah-buahan yang kaya dengan antioksidan dan sayur-sayuran," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dr Zamberi, pengambilan makanan mengandungi gula dan garam tinggi pula perlu dikurangkan bagi mengelak diri daripada menghidap penyakit kronik.

"Pengambilan makanan mengandungi gula berlebihan boleh mengakibatkan diabetes, manakala pengambilan makanan mengandungi garam berlebihan juga tidak elok kerana boleh mengundang penyakit darah tinggi.

"Apabila adanya penyakit kronik, lebih mudah untuk dijangkiti Covid-19 yang teruk adalah tinggi dan itu yang perlu kita cuba elakkan," katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, wabak Covid-19 membimbangkan kerana boleh bermutasi dalam tempoh singkat.

Katanya, varian Delta misalnya adalah super spreader yang sukar dikesan dan lebih ganas dengan keupayaan menjangkiti lapan individu dalam tempoh 15 saat.

"Vaksin ibarat perisai diri namun bukan jaminan seseorang terhindar daripada wabak Covid-19 atau jangkitan Delta.

"Bagaimanapun, pengambilan vaksin tetap perlu cuma kita sendiri perlu ambil langkah pencegahanan lebih untuk lindung diri daripada dijangkiti penyakit.

"Bagi saya, langkah duduk di rumah adalah yang paling wajar ketika ini kerana dengannya, kita tidak terdedah atau dijangkiti virus kemungkinan dibawa individu lain," katanya

Dr Sharifa berkata, sekiranya ada keperluan untuk keluar kerana tugas dan bertemu ramai individu pula, pastikan pakai pelitup muka tambahan bersama pelindung muka (face shield).

"Sebaik pulang ke rumah, terus mandi dan cuci pakaian dipakai. Ia kerana kita virus itu boleh merebak melalui udara seperti bersin dan sebagainya jadi perlu sentiasa berhati-hati

"Ini kerana ketahanan antibodi setiap individu berbeza, jika kuat mungkin dijangkiti tanpa gejala atau kategori satu tetapi boleh ke tahap empat atau lima jika sebaliknya jadi jangan berasa diri selamat walaupun sudah divaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:40 PM