Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat memaklumkan penularan Omicron adalah disebabkan gabungan faktor termasuk pembentukan varian Covid-19 dan peningkatan pergaulan sosial.
Sehubungan itu, Ketua Teknikal Covid-19 WHO, Maria Van Kerkhove berkata, orang ramai perlu memikirkan cara untuk memastikan mereka kurang terdedah kepada virus itu dan mengawal penularannya.
Kerkhove berkata, Omicron merebak dengan sangat pantas melalui individu kerana beberapa sebab dan pertama, mutasinya membolehkan virus menjangkiti pada sel manusia dengan lebih mudah.
"Kedua, adalah kerana antibodi di dalam badan kebal dengan virus (immune escape) bermakna seseorang individu boleh dijangkiti semula sama ada jika mereka mempunyai jangkitan sebelumnya atau jika sudah diberi vaksin,".
"Faktor lain ialah kita melihat replikasi Omicron di bahagian atas saluran pernafasan dan ia berbeza daripada Delta dan varian lain, yang mereplikasi di saluran pernafasan di dalam paru-paru," katanya.
Tambahnya, penyebaran virus itu juga disebabkan pergaulan orang ramai yang menghabiskan lebih banyak masa di dalam rumah di musim sejuk hemisfera utara, dan tidak mematuhi penjarakan fizikal.
"Orang awam di luar sana, apa yang anda perlu risaukan hanyalah mengurangkan pendedahan anda kepada virus itu," katanya.