YUSOFF Zaki Mat Yaacob. FOTO ihsan polis
YUSOFF Zaki Mat Yaacob. FOTO ihsan polis
SUSPEK yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
SUSPEK yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan


Beaufort: Polis menahan lelaki yang mengamuk dan mengugut akan membakar rumah majikannya selepas diberhentikan kerja di Kampung Siaun Menumbok, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8 pagi itu, suspek warga Indonesia dikatakan datang ke rumah bekas majikannya membawa parang.

Bagaimanapun, hanya anak lelaki bekas majikannya berusia 18 tahun yang berada di rumah itu dan remaja itu menghubungi ayahnya sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek adalah bekas pekerja ladang sawit milik bapanya.

Katanya, suspek diberhentikan kerja oleh majikannya kerana malas bekerja dan disyaki mengambil dadah syabu.

"Suspek yang tidak puas hati diberhentikan kemudian datang ke rumah majikannya dengan membawa parang sambil mengamuk sebelum beredar.

"Beberapa minit kemudian majikannya tiba rumah dan turut menerima pesanan melalui WhatsApp daripada suspek menyatakan akan membakar rumah majikannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan di Jalan Kuala Penyu - Menumbok di Kampung Kayul, di sini pada 7.40 malam.

"Siasatan masih dijalankan dan suspek belum membuat sebarang pengakuan berkenaan kejadian itu. Soal siasat akan diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 1:48 PM