SUSPEK (kiri) berang selepas mangsa mengambil semula tangga miliknya. FOTO JUWAN RIDUAN
SUSPEK (kiri) berang selepas mangsa mengambil semula tangga miliknya. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


TANGGA punya pasal, seorang lelaki cedera di lengan dan jari kiri ditetak dengan parang oleh anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Kerukan, Kuala Penyu, Beaufort, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 56 tahun dikatakan mengambil semula tangga aluminium miliknya yang disimpan oleh suspek berusia 42 tahun itu.

Suspek yang tidak puas hati datang ke rumah mangsa dengan membawa sebilah parang lalu melibasnya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan.

“Anak lelaki mangsa yang mengetahui kejadian itu kemudian membuat laporan polis dan bertindak atas laporan itu, suspek ditahan di kawasan sawah terbiar di kampung berkenaan, jam 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, pihaknya turut merampas parang yang digunakan suspek.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak puas hati apabila mangsa mengambil semula tangga aluminium miliknya yang disimpan.

“Semakan mendapati suspek pernah ditahan atas kesalahan ugutan jenayah,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 5:02 PM